JOHOR BAHARU – Seorang pengawal keselamatan warga Pakistan cedera di kepala akibat dilibas dengan parang oleh empat lelaki di Taman Mount Austin, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Sulaiman Salleh berkata kejadian berdekatan pos pengawal Jalan Mutiara Emas itu berlaku pada 5.05 pagi ketika mangsa, Parvezz Khan, 29, sedang bertugas.
“Kejadian dipercayai berpunca apabila pengawal terbabit tidak membenarkan keempat-empat lelaki berkenaan yang menaiki sebuah kereta Proton Saga masuk ke kawasan perumahan itu.
“Suspek kemudian keluar dari kenderaan terbabit dan terus menyerang pengawal itu dengan parang yang menyebabkan dia cedera di bahagian belakang kepala akibat dilibas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sulaiman berkata pengawal tersebut kemudian dibawa ke Hospital Sultan Ismail, di sini, untuk rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil.
Katanya polis kini sedang melakukan siasatan lanjut kes itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – BERNAMA
Komen
comments