VOKALIS kumpulan Terra Rossa, Jijam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur sebentar tadi terhadap tuduhan memiliki dadah jenis syabu, Sabtu lalu.
Jijam atau nama sebenarnya Khairulhizam Kaha, 43, membuat pengakuan dihadapan Majistret Nur' Aminahtul Mardiah Md Nor.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki satu paket plastik lutsinar mengandungi serbuk kristal jernih dadah jenis syabu anggaran berat 0.53 gram di kawasan bawah blok 8, Flat Taman Miharja Fasa 2, Cheras pada jam 5.15 petang, 9 Julai lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.
Penyanyi itu tidak dibenarkan diikat jamin sebelum mahkamah kemudiannya menetapkan 15 Ogos ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N Joy Jothi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada 12 Februari tahun lalu, Jijam didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret Ampang selepas mengaku salah terhadap tiga pertuduhan memiliki dan mengambil syabu, dua tahun lalu.
Sinar Harian
loading...
Share this
loading...