Nur Amirah Mengaku Pernah Dirogol|Pengakuan tersebut dibuat oleh gadis sunti
itu tanpa menunjukkan sebarang emosi sewaktu dia berdiri di luar kandang
tertuduh di samping ibunya.
Mengikut pertuduhan, gadis yang dibawa ke mahkamah dengan memakai baju
hospital warna hijau kira-kira pukul 10.15 pagi itu didakwa dengan sengaja
menggunakan kenyataan bahawa dia telah diculik sebagai benar sedangkan kenyataan
tersebut adalah palsu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 9.12 pagi, 29 Disember lalu
di Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang di sini.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 196 Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda.
Majistret Nor Asma Ahmad menetapkan jaminan sebanyak RM1,500 dengan dua
penjamin yang terdiri daripada ibu bapanya serta perlu melapor diri ke balai
polis berdekatan setiap dua minggu.
Mahkamah menetapkan 14 Januari ini untuk mendapatkan laporan akhlak dan
seterusnya menjatuhkan hukuman terhadap gadis tersebut.
Sementara itu, kejutan berlaku apabila di mahkamah sama, seorang remaja
lelaki bawah umur dipercayai kenalan gadis tersebut didakwa merogol pelajar
tingkatan tiga berkenaan kira-kira dua tahun lalu.
Remaja yang bekerja secara sambilan sebagai penyembur asap nyamuk didakwa
melakukan perbuatan tersebut kira-kira pukul 12 tengah hari, sekitar Disember
2014 di sebuah kediaman di Bandar Sultan Suleiman ketika mangsa berusia 13 tahun
enam bulan.
Pertuduhan ke atas remaja lelaki berusia 17 tahun yang dilihat seperti ‘lurus
bendul’ itu dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan
hukuman penjara 20 tahun dan boleh disebat.
Bagaimanapun, mahkamah tidak merekodkan sebarang pengakuan daripada remaja
lelaki itu ekoran ketiadaan penjaga atau ibu bapanya.
Ketika ditanya sama ada keluarganya mengetahui bahawa dia telah ditahan dan
ada melawatnya ketika direman, remaja yang memakai jersi kuning itu memberitahu:
“Tahu, sebab saya kena tahan di rumah. Masa tu, mak, ayah ada. Tapi tak datang
(jumpa) masa reman.”
Oleh itu, Nor Asma menetapkan sebutan semula kes itu esok bagi tujuan
merekodkan pengakuan dan membolehkan kehadiran ibu bapa tertuduh.
Terdahulu, sebelum Mahkamah Majistret terbabit diisytiharkan sebagai Mahkamah
Juvenil, seorang lagi remaja, Gan Chin Teck, 19, yang dipercayai teman lelaki
gadis itu, mengaku tidak bersalah atas tuduhan melarikan remaja perempuan itu
tanpa kerelaan penjaga atau ibu bapa mangsa.
Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 2 petang, 27 Disember lalu di
hadapan Sekolah Kebangsaan Pelabuhan Utara, Bandar Sultan Suleiman di sini.
Pertuduhan ke atas remaja yang bekerja sebagai tukang besi itu dibuat
mengikut Seksyen 361 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 363
kanun sama yang membawa hukuman penjara tujuh tahun dan denda.
Mahkamah
membenarkan Chin Teck diikat jamin RM5,000 berserta seorang penjamin sementara
menunggu sebutan semula kes pada 25 Februari ini.
Pendakwaan kesemua kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syed
Farid Syed Ali manakala gadis berkenaan dan Chin Teck diwakili peguam-peguam
bela, Nur Aida Md. Zainuddin dan Ian Simpson.
Remaja lelaki berusia 17 tahun
itu tidak diwakili peguam bela.
Kisah remaja perempuan tersebut menjadi viral apabila rakaman perbualan
telefon remaja itu meminta tolong kakak angkatnya yang kononnya dia diculik dua
lelaki India di Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang dekat sini tersebar
menerusi laman media sosial.
Lebih membimbangkan gadis itu mendakwa telah dilarikan dalam sebuah van
berwarna putih dan dalam perjalanan untuk dijual di negara jiran.
Bagaimanapun tembelang remaja tersebut terbongkar selepas dia akhirnya
ditemukan dalam keadaan selamat bersama teman lelakinya kira-kira pukul 10
malam, 31 Disember lalu di sebuah stesen minyak di Kanchong Darat, Banting.
loading...