Rugi RM2,050 Ditipu Penunda Kereta





Mendapat pengalaman yang teruk hari ini. Saya tidak pasti sama ada tindakan memuat naik status ini betul atau sebaliknya. Tetapi apabila difikirkan kembali, mungkin ini akan dapat membantu orang ramai dari menjadi mangsa.


Hari ini (6 Jun), ayah saya mengalami kemalangan di Cheras. Tayar pecah dan hilang kawalan menyebabkan ayah terlanggar sebuah kereta dengan kerosakan kecil, namun tiada sesiapa yang cedera.


Ayah menghubungi panel bengkel keretanya (Renault) dan mereka memaklumkan kereta tunda yang dihantar akan mengambil sedikit masa yang lama untuk tiba di tempat kejadian.


Seperti biasa, muncul sebuah kereta tunda di tempat kejadian dan polis pula terus menerus menekan ayah saya untuk mengalihkan keretanya yang menyebabkan jalan raya sesak.


Ayah cuba menghubungi Renault sekali lagi dan mereka berbincang dengan kereta tunda yang datang tadi.


Akhirnya, ayah bersetuju akan membayar RM200 jika mereka membawa keretanya itu ke balai polis. Ayah juga disuruh menandatangani sehelai dokumen persetujuan sebagai bukti ayah membenarkan mereka membawa kereta tersebut selain dari bimbang ditahan polis dan timbulan pula masalah yang lain.


Sudah tentu ini bukan satu langkah yang baik tetapi polis pula terus menerus memberikan tekanan pada ayah agar mengalihkan keretanya menyebabkan dia terpaksa menandatangani dokumen berkenaan.


Selepas tiba di balai polis, pemandu kereta tunda itu tadi menghubungi ayah saya memaklumkan keretanya telah dibawa ke bengkel milik mereka.


Ayah menghubungi mereka semula dan mengarahkan mereka membawa semula kereta itu ke balai polis seperti yang dipersetujui namun tidak diendahkan. Sebaliknya, mereka tidak akan memulangkan kereta itu selagi ayah tidak membayar mereka.


Lalu pemandu kereta tunda itu tadi datang ke balai polis dengan 10 orang rakannya dan mengugut ayah sama ada bayar mereka RM2,000 atau kereta tidak akan dipulangkan.


Ayah cuba meminta bantuan sarjan yang bertugas. Malangnya sarjan itu tidak dapat memberikan bantuan memandangkan ayah telah menandatangani dokumen perjanjian.


Pemandu kereta tunda dan rakannya terus menekan, mengugut ayah di balai polis. Polis bagaimanapun hanya menyaksikan kejadian itu tanpa berbuat apa-apa.


Ayah dipaksa mengeluarkan wang dari bank sebanyak RM2,050 dan bayar pada mereka sebagai syarat keretanya dibawa ke bengkel Renault.


Saya bertemu dengan ayah di bengkel Renault untuk membawanya balik dan hanya mengetahui kejadian ini dan pemandu kereta tunda juga berada di bengkel itu. Jadi, secara diam-diam saya merakam gambar kereta tunda itu sementara pemandunya sedang menurunkan kereta ayah.


Selepas itu, pemandu kereta tunda itu sekali lagi meminta RM200 dari ayah dengan alasan telah membantu dan menghantar keretanya ke bengkel yang dikehendaki.


Sudah tentu ayah marah kerana mereka dilihat cuba menipu dan mengenakan bayaran yang tidak sepatutnya, sedangkan dia juga telah menerima bayaran dari jumlah RM2,050 yang dikeluarkan sebelum itu.

Lelaki itu menjadi marah lalu pergi ke keretanya dan mengambil sebatang besi menuju ke arah ayah dengan saya pula terpaksa mengejar lelaki itu di belakang untuk menghalangnya.


Sambil berlari, saya mengugut akan merakam gambar dan video serta menghubungi polis untuk dijadikan sebagai bukti. Lelaki itu kemudian berpaling dan mengetuk cermin mata saya sehingga pecah.


Dia mula mengancam saya, jadi ayah pula segera berlari dan melindungi saya. Lelaki itu terus cuba menyerang kami sekali lagi tetapi kali ini pengawal keselamatan dan kakitangan bengkel itu cuba menenangkan lelaki terbabit.


Saya beritahu lelaki itu saya sedang menghubungi polis Shah Alam. Lelaki itu pula menghubungi majikannya. Dengan tangan yang terketar-ketar, saya menunggu polis menjawab panggilan, tetapi tiada sesiapa yang menjawab panggilan. Mujurlah lelaki itu berlalu pergi begitu sahaja.


Saya sangat kecewa dan takut dengan tindakan lelaki itu dan polis yang tidak membantu.


Kepada mereka yang lain, tak kira berapa beratnya tekanan yang anda hadapi atau apa yang polis beritahu anda, usah diturutkan sahaja kemahuan mereka jika anda terlibat dalam kemalangan. Mereka hanya berniat mengambil wang anda. Bukan sahaja mahukan duit, mereka juga sanggup mencederakan anda! -

Pengadu, Zia (bukan warganegara Malaysia)








sumber
loading...