Raja Umberto I dan adikongnya, Jeneral Emilio Ponzio-Vaglia duduk di sebuah meja sebuah restoran kecil di Monza, Itali, pada malam 18 Julai 1900.
Raja Umberto I |
Mereka baru sampai dari Rom dan ingin bersiar-siar di bandar tersebut yang letaknya cuma beberapa kilometer dari Milan. Esoknya baginda dijadual menyampaikan hadiah dalam satu perhimpunan atlet.
"Ini makanannya tuanku," kata tuan punya restoran tersebut sambil menghulurkan hidangan yang dipesan.
Raja Umberto menoleh dan spontan kedua-duanya terdiam kerana wajah mereka seiras, begitu juga dengan ketinggian, bentuk badan serta rambut.
Raja Umberto mempelawa lelaki tersebut duduk dan perbualan bermula. Sekali lagi baginda terkejut, pemilik restoran itu juga bernama Umberto dan lahir pada 14 Mac 1844 di Turin, hari dan tempat yang sama Raja Umberto I diputerakan. Dan kedua-duanya pernah menyertai angkatan tentera Itali.
Lebih memeranjatkan, kedua-dua mereka mempunyai isteri bernama Margherita (permaisuri Raja Umberto bernama Margheria Maria Teresa Giovanna) dan anak lelaki bernama Vittorio.
Malah lelaki tersebut membuka restorannya pada hari Raja Umberto I ditabal menjadi raja Itali.
"Oh..kebetulan-kebetulan ini memang menakjubkan. Tapi, kenapalah baru sekarang kita bertemu", kata Raja Umberto lalu disambut lelaki berkenaan dengan ketawa besar.
Dalam perbualan selanjutnya, kedua-duanya menyedari walaupun tidak perbah bertemu dan mengenali antara satu sama lain, mereka pernah bersama-sama menghadiri dua majlis keraian.
Kali pertama pada 1866 dalam satu majlis penganugerahan pingat keberanian. Ketika itu Raja Umberto I berpangkat kolonel manakala pemilik restoran tersebut berpangkat prebet.
Pada 1877, mereka menghadiri satu majlis kenaikan pangkat, Raja Umberto menjadi panglima manakala lelaki tersebut sebagai sarjan.
Pemilik restoran berkenaan kembali ke tempatnya di kaunter selepas mereka berbual panjang. Raja Umberto I menggeleng kepala, bagai tidak percaya dengan apa yang sedang berlaku.
Terpesona dengan perwatakan, kekentalan semangat serta pengalamannya dalam ketenteraan, Raja Umberto I menyatakan hasratnya untuk melantik pemilik restoran itu menjadi pegawai tinggi dalam angkatan tentera Itali.
"Pastikan dia datang pada majlis esok", kata Raja Umberto I kepada adikongnya.
Seperti diarahkan, Jeneral Vaglia menelefon restoran lelaki berkenaan keesokannya tapi dimaklumkan oleh pekerjanya bahawa lelaki itu tiada; dia baru saja meninggal dunia akibat ditembak!
Terkejut dengan berita itu, Raja Umberto I mengarahkan Jeneral Vaglia mendapatkan maklumat bila dan di mana upacara pengebumian lelaki tersebut akan berlangsung.
"Saya pasti datang", kata Raja Umberto I, sedih.
Malangnya hasrat Raja Umberto I tidak tertunai kerana petang itu baginda pula menemui ajal apabila ditembak oleh seorang anarki, Gaetano Bresci.
Lelaki tersebut telah melepaskan tiga das tembakan. Yang pertama tersasar tapi dua das berikutnya menembusi tubuh Raja Umberto I, salah satunya menembusi jantung.
Raja Umberto I mati di situ juga.
loading...