PUTRAJAYA – Edisi ketiga ‘Putrajaya Deuter Trail Run’ 2015 yang dijadual pada 10 Mei, menerima sambutan menggalakkan daripada peserta tempatan dan juga luar negara.
“Semasa kita membuka pendaftaran untuk peserta acara ini minggu lepas, kami menerima sambutan memberangsangkan. Hanya selepas dua hari, pendaftaran peserta sudah penuh.
“Kami sudah mencapai sasaran 2,000 peserta dan kami tidak boleh menerima lagi (pendaftaran),” kata Pengarah Urusan Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd Datuk Radha Krishnan pada majlis pelancaran rasmi acara berkenaan di Menara KBS di sini semalam.
Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan.
Radha berkata sebanyak 30 peratus peserta yang mendaftar untuk menyertai acara larian tersebut adalah ekspatriat asing.
“Kami tidak boleh membuka penyertaan acara itu lebih dari 2,000 peserta kerana acara berkenaan tidak sesuai diadakan melibatkan jumlah pelari yang besar,” katanya.
Beliau berkata semasa acara berkenaan mula diperkenalkan pada 2013, penyertaan peserta adalah sebanyak 1,700 orang dan pada tahun lepas, ia meningkat kepada 1,800 peserta.
Pada tahun ini, pelari akan merasai pengalaman untuk berlumba dengan jarak lebih jauh, selain halangan dan laluan lebih mencabar di sepanjang perlumbaan, kata Radha.
Beliau berkata jarak halangan di Taman Cabaran Putrajaya meningkat dari 10km kepada 12km pada tahun ini. – BERNAMA
Komen
comments