'Tiger' Penjara Machang dipenjara 10 tahun, dua sebatan



Tertuduh dikawal anggota penjara untuk dibawa pulang ke Penjara Machang

KOTA BHARU - Seorang lelaki yang menggelar dirinya 'Tiger' dihukum penjara 10 tahun dan dua sebatan di mahkamah sesyen, di sini, semalam, kerana merogol kekasih bawah umur.

Hukuman diputuskan Hakim, Mohd Yusoff Yunus terhadap Mukhtar Mat Hasan, 37, selepas penganggur itu mengaku salah merogol kekasih yang muda 24 tahun daripada usianya.

Tertuduh merogol gadis berusia 13 tahun lima bulan itu, di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Lepan Kandis, Pulai Chondong, Machang, pada jam 4 pagi, 26 Februari lalu.

Terdahulu, tertuduh memohon mahkamah meringankan hukuman ke atasnya dan meminta ia berjalan daripada tarikh dia ditangkap, bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya negeri, Mariah Omar memohon hukuman berat, mengambil kira umur mangsa masih terlalu muda.

"Kesalahan seumpama ini semakin berleluasa dan saya mengharapkan satu hukuman yang boleh mengekang jenayah seperti ini terus berlaku dalam masyarakat, selain dapat dijadikan pengajaran buat tertuduh serta orang awam agar tidak mengulanginya," katanya.

Tiga hari sebelum kejadian, pada jam 4 pagi, mangsa keluar berjalan-jalan mengikut teman lelakinya yang dikenali sebagai Pok Tar. Tertuduh kemudian membawanya ke rumah seorang kawan dan bermalam di rumah tersebut.

Pada jam 4 pagi, 26 Februari, mereka yang sedang tidur terjaga sebelum tertuduh mengajak mangsa melakukan hubungan seks.

Pada 2 Mac, mangsa melarikan diri dari rumah tersebut dan pulang ke rumah, lalu dipaksa oleh ibunya supaya membuat laporan polis.

Tertuduh juga sedang menjalani hukuman penjara 18 bulan bersabit kesalahan mencuri motosikal.


 

loading...