NEW YORK – Sebutir berlian 100 karat yang berasal dari sebuah lombong di Afrika Selatan berjaya dijual dengan harga AS$22.1 juta (RM79.5 juta) hanya dalam masa tiga minit dilelong kepada pembida dari seluruh dunia.
Akhbar-akhbar tempatan melaporkan, acara yang berlangsung di galeri lelongan terkenal Sotheby’s di sini pada Selasa, mendapat tumpuan kerana dianggap berlian terbesar potongan zamrud paling sempurna pernah dijual.
Ketua jabatan barangan perhiasan Sothebhy’s, Gary Schuler berkata, sebelum acara lelongan dibuka, pihaknya menjangka harga minimum bidaan mungkin hanya mampu mencecah AS$19 juta (RM68.3 juta).
“Warna berlian ini lebih putih daripada putih, bebas daripada ketidaksempurnaan, sangat telus sehingga sukar dibezakan dengan kolam berisi air batu,” ujar beliau kepada pembida sebelum memulakan proses lelongan.
Berlian tersebut ditemui di salah satu lombong milik firma cari gali permata terkenal De Beers di Afrika Selatan sebelum ia dipotong, digosok dan disempurnakan selama lebih setahun oleh pakar terbaik antarabangsa.
Ia dijumpai lebih 10 tahun lalu dalam keadaan 200 karat dengan nilai anggaran AS$25 juta (RM89.9 juta) tetapi kemudian dibentuk semula menjadi 100.2 karat bagi disesuaikan untuk tujuan komersial.
Pemenang lelongan itu ialah seorang pengumpul barangan kemas yang berjaya menawarkan bidaan tertinggi menerusi panggilan telefon, namun meminta identiti dirinya dirahsiakan atas sebab-sebab tertentu.
Sebelum itu, Sotheby’s pernah mempamerkan berlian ini sebanyak dua kali di Doha dan Dubai, kemudian di Los Angeles, Hong Kong, London dan New York sebagai promosi untuk menarik minat pembeli berwibawa.
Sothebhy’s menjelaskan cuma ada lima berlian sedemikian yang boleh dibandingkan dengan kualiti berlian tersebut dan salah satunya telah dijual AS$30.6 juta (RM110 juta) dalam lelongan di Hong Kong pada 2013. – Agensi/A.AMREE
Komen
comments